Pelakon dan vokalis kumpulan Wings, Awie, mengakui pergaduhannya di sebuah kelab di Langkawi pada bulan lalu kerana perbuatan provokasi individu tertentu yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, pergaduhan
tersebut berpunca apabila segelintir pengunjung enggan menghormati
permintaannya agar tidak mengambil gambar dia di dalam kelab.
“Punca pergaduhan tersebut adalah kecil apabila saya enggan
bergambar dengan mereka di dalam kelab. Saya beritahu kalau nak
bergambar, ambil di luar kelab sahajalah tetapi mereka tidak hormat
permintaan saya.
“Kerana tindakan itu mereka melakukan provokasi dengan mengeluarkan
kata-kata kurang enak sehingga membangkitkan perasaan marah saya,”
katanya.
Awie ditemui selepas pelancaran Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Rock Malaysia di Istana Budaya di sini, pada Rabu.
Konsert berkenaan akan diadakan selama empat hari bermula pada 12 Januari 2012.
Dalam pada itu, Awie menafikan dakwaan dalam sebuah blog hiburan
yang mengatakan dia dipukul teruk namun mengakui ada berlaku pergaduhan
antara dia dengan beberapa pengunjung di luar kelab itu.
“Kira-kira 30 orang telah datang untuk menyerang saya di luar kelab
tetapi mereka tidak berjaya menyentuh saya dan disebabkan itu mungkin
mereka lebih berang terhadap saya.
“Anda (wartawan) boleh melihat sendiri tidak ada satu lebam pun
berada di badan atau muka saya, jadi laporan mengatakan saya dibelasah
teruk adalah tidak benar,” ujarnya.
Sementara itu, kata Awie, dia kesal apabila ada pihak luar campur
tangan dalam kejadian tersebut dan menganggap pihak yang menyerangnya
mempunyai motif tersendiri.
“Kelab berkenaan mempunyai sekuriti yang saya yakin boleh
meleraikan pergaduhan antara kami tetapi mengapa perlu melibatkan orang
luar dalam kejadian itu?
“Saya tidak faham motif mereka melakukan perbuatan itu terhadap
saya kerana kunjungan saya ke sana bukan untuk mencari masalah dengan
sesiapa,” ujarnya.
Awie berkata, pergaduhan itu selesai apabila dia dibawa ke balai
polis berdekatan namun tiada sebarang laporan polis dibuat oleh
kedua-dua belah pihak.
Ditanya mengapa dia ke Langkawi Awie memberitahu, tujuannya ke
pulau itu untuk melihat sebidang tanah yang dibelinya beberapa tahun
lalu selain mendapat undangan membuat persembahan di kelab berkenaan.
Terdahulu, sebuah blog hiburan melaporkan Awie ke Pulau Langkawi
untuk menghadiri satu mesyuarat anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah
Islamiah Malaysia (Pekida) dan menghabiskan masa di kelab berkenaan
bersama pengawal peribadinya sebelum berlakunya pergaduhan.
Sumber : malaysiasensasi
0 comments:
Post a Comment